Sabtu, 14 September 2013

Allah sebagai penyelesai?

Setiap orang ada masalah yang tersendiri. Mungkin sahabat anda ada masalah A, anda ada masalah B. Sebenarnya, bukan masalah yang penting. Jalan penyelesaian yang penting. Pernah tak anda berasa pelik dengan seseorang kerana anda sentiasa jumpa dia dalam keadaan tersenyum? Pernah? Tak pernah?
Walau apa pun jawapan kalian, orang seperti ini, bagi saya hebat sekali. Kerana saya percaya, percayanya dia kepada Allah lah yang membuatkan dia sentiasa tersenyum ketika senang ataupun susah.
"Eh, macam mana pulak tu eh?" Baik, begini sebenarnya. Anda mesti pernah mengadu masalah kepada ibu bapa dengan harapan mereka dapat membantu menyelesaikan masalah anda bukan? Seperti itulah sebenarnya situasi ini.

Allah sebagai penyelesai masalah
Hakikatnya, kita perlu percaya dan yakin bahawa Allah adalah penyelesai masalah kita. Kenapa Allah bagi kita masalah, tapi Dia jugalah yang bagi penyelesaian kepada kita? Sebab kita ini manusia, hakikat penciptaan kita sentiasa terlupa dan kadangkala lalai. Masalah diwujudkan sebagai jambatan seseorang itu untuk menjadi lebih baik. Seperti menjawab soalan matematik, setiap kali dapat dijawab keupayaan untuk menjawab soalan matematik akan bertambah. Ada ke soalan matematik yang mengurangkan keupayaan seseorang itu daripada menjawabnya? Tiada. Kerana, bukan soalan itu yang menyebabkan kurangnya keupayaan, tetapi hakikatnya orang itu sendiri. Dia mungkin putus asa lalu potensinya terhenti di situ, atau mungkin malas, jadi sekali lagi potensinya terhenti di situ. Hakikatnya, keputusan pelaku itu yang memainkan peranan sama ada dia akan bergerak ke hadapan atau ke belakang!

Hakikatnya, kenapa kita tidak melihat Allah sebagai tempat penyelesai masalah kita?
Untuk persoalan ini, jawapannya, pada pandangan saya adalah persoalan ini. Siapakah yang anda paling percaya dalam hidup anda? Ibu bapa? Kawan-kawan? Kerana saya percaya, manusia hanya akan meluahkan masalah dan meminta tolong kepada orang yang dia paling percaya. Bukan bermaksud kita tidak percaya pada Allah jika kita tidak mengadu dan meminta pertolongan daripada-Nya. Tapi mungkin, kepercayaan itu tak seperti tahap kepercayaan anda kepada ibu bapa anda contohnya. Ibaratnya, kalau anda ditimpa musibah, siapakah yang pertama sekali terlintas dalam fikiran. Dialah yang anda paling percaya.

Resolusi Hati
Akhirnya, konklusi yang harus ada dalam minda adalah mari kenali Dia. Mari kenali Allah. Kerana tiada yang setanding dengan Allah. Kerana ketenangan dan kebahagiaan adalah di sisi-Nya. Seperti orang mukmin, ketika diuji dia bersabar, dan ketika mendapat nikmat dia bersyukur. Mari sahabat! Mari menjadi bahagia! Bahagia di sisi-Nya!